Rabu, 28 Mei 2014

Enaknya Karipap Gajah

PADA bulan puasa lalu, penulis terserempak karipap yang luar biasa besarnya. Karipap ini pasti membuat–kan sesiapa yang memakannya terasa kenyang. Sebiji saja pasti pemakannya terasa puas.

Sebenarnya melihat karipap besar begitu bukanlah asing kerana biasa melihatnya di pasar malam dan dijual di tepi jalan pada hari biasa. Sudah beberapa kali juga menikmatinya yang berinti telur. Ada juga beberapa peniaga yang membuatnya sedikit tawar agar boleh dicicah sos khas yang masam manis rasanya.


Tetapi yang berbeza mengenai karipap kali ini ialah bentuknya yang jelas garing dan mengembang. Karipap sememangnya kuih tradisi kita yang sesuai dimakan pada bila-bila masa, sama ada sebagai kudapan ataupun hidangan berat kerana ia turut mengenyangkan.

Karipap juga antara kuih yang mudah dibuat dan bahannya juga sangat asas, cuma kepelbagaian rasa biasanya terletak pada intinya.

Sering bereksperimen dengan karipap, dapatlah disimpulkan karipap yang sedap bukan hanya bergantung pada intinya tetapi juga adunan tepung dohnya. Walaupun sekadar tepung dan marjerin, jumlah majerin mesti  tepat dan berpatutan.
Sekiranya kurang ia akan terasa tawar, berlebihan pula membuatkan kita muak.

Karipap yang sedap juga biasanya ringan dan tidak berat setelah digoreng. Karipap gajah Rosliza Mahmad, 36, menepati ciri-ciri ini. Selain ringan, ia juga tampak menyelerakan.

Lantas penulis bertanya Rosliza sama ada ada meletak sesuatu seperti serbuk penaik yang menjadikannya mengembang sebegitu.

“Tidak, resipinya sama dengan karipap biasa. Apabila saiznya besar dia jadi mengembang begitu berbanding karipap yang kecil,” katanya.

Namun Rosliza mengakui, karipapnya memang rapuh dan perlu digoreng penuh hati-hati.

“Ia agak sensitif. Sebab itu perlu berhati-hati ketika meng–gorengnya supaya tidak pecah. Kami menggunakan besen khas bagi menggorengnya supaya cepat masak,” jelas suami Rosliza pula.

Di gerai Rosliza, selain menjual karipap gajah, ada juga karipap bersaiz biasa, pau goreng, donat dan rebusan stimbot.

Melihat ukurannya yang besar, menurut Rosliza, memang pelanggan menggelar karipapnya dengan pelbagai nama seperti karipap besar dan karipap gajah.

“Bagi saya ia karipap biasa saja kerana saya sudah berniaga kuih ini sejak 10 tahun lalu,” kata anak kelahiran Kelantan ini.

Namun katanya, nama karipap gajah memang cepat melekat kerana saiznya itu.
Rosliza mendapat idea membuat saiz sebegini supaya senang menjualnya dengan harga seringgit satu. Intinya pula ada dua pilihan, sama ada ayam atau sardin.

Kali ini, tahun pertama pasangan suami isteri itu menjualnya di pasar Ramadan Sungai Besar. Pada hari biasa, dia dan suaminya, Shamsul Kamal, 37, berniaga kuih sama di pasar malam biasa seperti di pasar malam Sungai Besar, Sekinchan dan Parit 16.

Artikel ini disiarkan pada : 2011/09/06

Tiada ulasan:

Catat Ulasan