Rabu, 28 Mei 2014

Karipap Masuk Internet

www.utusan.com.my   ARKIB : 09/12/2011

Aziana Muhammad berbangga apabila karipapnya kini dipasarkan melalui Internet. 

Program Get Malaysian Business Online (GMBO) yang diperkenalkan oleh Google Malaysia nyata telah membawa lembaran baru kepada usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) seperti Aziana Muhammad, 41.

Sebagai salah seorang daripada kajian kes projek GMBO, wanita ini mengakui nasibnya amat baik apabila dilamar oleh pihak berkenaan yang ketika itu mencari usahawan PKS sepertinya.

''Inilah yang diinginkan saya selepas menceburi bidang membuat karipap dingin beku secara serius sejak lima bulan lalu. Sebelum ini sata menghadapi masalah membuat laman web sendiri kerana tidak faham dengan teknik dan caranya,'' katanya.

Kini Aziana boleh berbangga kerana telah mempunyai laman web sendiri iaitu byhandbyheart.com.my atas jenama Puteri Puff & Pastry.

Jelas Aziana, beliau berpuas hati kerana dengan adanya laman web sendiri produknya kini mendapat promosi lebih meluas melalui Internet.

Bukan sahaja karipapnya kini semakin dikenali di seluruh dunia malah berpeluang berkongsi pelbagai maklumat dengan mereka yang mengirim emel kepadanya.

Bagaimanapun katanya, setakat ini dia hanya menerima tempahan dari pelanggannya di sekitar kawasan Lembah Klang sahaja.

''Saya memang penggemar karipap semenjak kecil dan segala ramuan untuk membuat inti dan kulit karipap diwarisi dari ibu,'' katanya ketika ditemui di Bandar Tasik Puteri, Rawang, Selangor baru-baru ini.
Bagaimanapun katanya, disebabkan matlamat untuk menghasilkan karipap yang berkualiti selain halal dan bersih maka sehingga kini dalam tempoh lima bulan dia telah empat kali melakukan percubaan membuat kulit yang diyakini paling terbaik.

''Selain kulitnya yang tidak berminyak, karipap yang dihasilkan juga bebas daripada bahan perasa seperti monosodium glutamate (MSG) dan bahan pengawet,'' kata Aziana.

Menurut beliau, setakat ini dia mampu menghasilkan karipap lebih kurang 400 biji sahaja sehari kerana masih terhad dari segi pembantu dan peralatan.

Jelas ibu kepada dua anak itu, selain karipap dia juga turut membuat vadei, donut, samosa, kek coklat lembab dan yang akan datang ialah lassagna.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan