Rabu, 28 Mei 2014

Karipap Pencetus Cita-cita

Oleh AHMED SYAHRIL ZULKEPLY
rekreasi@utusan.com.my Gambar HAFIZ JOHARI KUIH

Pilihan yang dibuat oleh Chef Khairuz bukan sahaja mengubah hidupnya malah hasilnya juga lumayan.
Karipap sudah tentu dikenali ramai kerana rasa ubi kentang,ayam, daging dan beberapa rempah yang digunakan dalam adunannya enak dimakan ketika panas.

Mungkin ada di antara kita menganggap kuih tersebut sebagai kuih biasa sahaja tetapi buat Chef muda yang ditemui S3 minggu ini, Sous Chef, Khairuz Zaman Ahmad Hadzri, kuih tersebut amat bermakna dan istimewa.

Mana tidaknya, sejak dari kecil lagi, Chef Khairuz membantu ibunya membuat kuih karipap secara sambilan untuk dijual di asrama tempat bapanya bekerja.

Chef Khairuz berkata, minat memasak juga timbul secara tidak langsung sejak membantu ibunya menyediakan kuih-muih itu. “Saya mula memasak sejak darjah empat.

Walaupun hanya membantu ibu saya buat kuih tradisional Melayu, itulah permulaan saya bercita-cita untuk bergelar seorang chef suatu hari nanti,” katanya ketika ditemui di Kafe Warisan.

Beliau berkata, selepas tamat pengajian di peringkat sekolah menengah, beliau dan beberapa rakan yang lain membuat keputusan untuk berhijrah ke Pulau Pinang.

Ketika berada di sana, beliau dan rakan-rakannya diterima berkhidmat di sebuah hotel sebagai pembantu tukang masak.

Bagaimanapun, selepas empat tahun berlalu, beliau mendapat peluang untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Pengurusan Perhotelan dan Latihan Chef di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, Terengganu.


Menurut Khairuz Zaman, pada masa yang sama beliau juga ditawarkan untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Kursus Binaan Kontraktor “Saya keliru pada masa itu kerana diberi dua pilihan. Satu bidang, saya minat dan satu lagi agak sukar untuk ditolak. “

Saya rasa kedua-dua bidang ini menjamin masa hadapan dan agak sukar untuk buat pilihan terbaik. “Saya tanya pendapat ibu bapa dan berserah kepada pilihan keluarga.

Akhirnya saya memilih untuk melanjutkan pengajian di UiTM,” jelasnya.

Katanya, bidang chef amat berbeza dengan bidang profesional yang lain kerana ia melibatkan makanan.

“Saya rasa seronok bila melihat orang ramai makan makanan yang dimasak oleh saya dan rakan-rakan chef yang lain.

“Saya juga terharu jika masakan kami dimakan oleh orang kenamaan kerana saya dan rakan-rakan lain merupakan orang biasa sahaja, bukannya hebat sangat. “

Tetapi bila dapat peluang menggunakan air tangan kami untuk menyediakan masakan kepada pengunjung hotel, itulah yang membuatkan kami hebat dan itulah antara kelebihan bekerja dalam bidang ini,” ujar Khairuz Zaman.

Tambahnya, kerjaya chef pada zaman ini amat berbeza dengan zaman beliau mula menjejakkan kaki ke dapur.

“Zaman sekarang sudah berbeza kerana chef generasi baru mudah mendapatkan bahan-bahan rujukan atau resipi masakan. “

Masa saya mula-mula kerja dahulu susah untuk dapatkan resipi sebab penggunaan Internet amat terhad dan buku-buku resipi yang dijual juga mahal,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan