Khamis, 29 Mei 2014

Karipap Premium di Pavillion

ARKIB : 31/03/2014 Utusan Online

Karipap premium di Pavilion

KAMPONG Kravers sesuai untuk pelbagai bangsa.

WALAUPUN semakin banyak pastri dan kek resipi dari luar negara yang menjengah ke Malaysia, tetapi rasanya tiada yang dapat dibandingkan dengan hidangan kuih tradisional kita, karipap yang menjadi pilihan pelbagai bangsa dan usia.

Minum petang anda pasti terasa lengkap apabila dapat menikmati keenakan karipap yang masih panas bersama air kopi atau teh o panas. Malah, tidak keterlaluan untuk menyatakan kuih karipap juga merupakan ‘kuih rasmi’ dalam mesyuarat kerajaan ataupun swasta.

Namun, bukan mudah sebenarnya untuk menemui karipap yang benar-benar sedap dan berkualiti kerana ramai peniaga yang seolah-olah ‘tidak ikhlas’ menyediakan hidangan karipap dengan isinya yang sedikit dan kulitnya yang tidak menyelerakan.

Bagi pemburu kuih karipap tegar, apa kata singgah ke Kampong Kravers yang baru saja membuka kiosk di pusat beli-belah Pavilion, Kuala Lumpur. Menyediakan karipap premium pelbagai inti, rasanya yang lengkap segala rempah-ratus pasti tidak akan mengecewakan selera Malaysia anda.

Selain inti biasa seperti ayam, daging sardin dan kentang, mereka turut menyediakan pelbagai perisa inti iaitu daging masala, tuna pedas, sambal ikan bilis, durian, cempedak, cendawan mayonis, kaya, kastard epal, nanas dan mentega kacang. Paling menariknya ia turut disediakan dalam bentuk sejuk beku untuk mereka yang mahu mengulangi rasa enak karipap ketika di rumah.

Karipap didatangi dalam tiga saiz berbeza. Bagusnya lagi karipap pusing digoreng menggunakan teknologi terkini yang menyihatkan iaitu penggoreng tekanan udara yang tidak menggunakan minyak, membuatkan anda dapat menikmatinya tanpa rasa bersalah dek minyak yang tidak elok untuk kesihatan.

Menurut Pengarah komersial Kampong Kravers , Monarr F. Basarrah, kiosk Karipap Kravers yang baru dibuka bulan lalu itu kerana memenuhi permintaan ramai terhadap produk mereka yang sebelum ini dijual di kafe yang terletak di Damansara Kim, Petaling Jaya dan beberapa pasar raya sekitar Lembah Klang.

“Kiosk yang baru dibuka ini bertujuan untuk memuaskan keinginan mereka yang datang ke pusat beli-belah ini terhadap snek tradisi Malaysia yang disediakan dalam cara yang kreatif, terkini dan inovasi penyediaan yang menyihatkan.

“Ia merupakan yang pertama dan kami bercadang untuk membuka lebih banyak kiosk sebegini pada masa akan datang," ujarnya ketika ditemui di kiosk Kampong Kravers, Pavilion Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Selain rasanya yang enak, ia juga tidak mengandungi bahan pengawet, perisa dan pewarna tambahan, tiada MSG, rendah kolestrol dan pastinya dijamin halal.

Ujar Monarr, mereka menggunakan teknik blast freeze iaitu karipap yang telah selesai diadun dimasukkan ke dalam penyejuk beku khas yang mencecah suhu serendah -20 darjah Celcius bagi mematikan mikro organisma lalu membuatkan ia tidak memerlukan bahan pengawet untuk tahan lama.

Di kiosk Kampong Kravers, anda juga dapat menikmati pelbagai hidangan tempatan yang menyelerakan di samping menyihatkan seperti nasi lemak kukus yang menggunakan beras Basmathi yang terbukti bagus untuk kesihatan yang kemudian dibalut dengan daun pisang bagi menaikkan bau dan rasanya.

Atau nikmati roti canai yang dihidang dengan pelbagai pilihan bahan untuk dicicah iaitu masala daging, ayam, dal, nutella, durian dan cempedak.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan