Khamis, 29 Mei 2014

Karipop KL Makin Diminati

Karipop KL makin diminati


KARIPOP KL mempunyai lima inti yang berlainan.


KARIPAP yang kerap dijual kepada orang ramai mengandungi inti kentang yang dicampur dengan daging atau ayam.
Namun, sepasang suami isteri, Azizul Abdul Latif, 37, dan Siti Aadila Azemi, 31, menjual karipap mengandungi inti yang berbeza daripada kebiasaan.
Kru Jurnal turut berpeluang menikmati keenakan produk keluaran pasangan suami isteri itu.
Selain intinya, kerangupan pastri menjadi salah satu sebab mengapa produk itu mula mendapat sambutan daripada orang ramai.
Menurut Siti Aadila, karipap itu yang dikenali sebagai Karipop KL itu mula dijual pada penghujung tahun 2010.
“Saya sudah didedahkan dengan teknik membuat karipap sejak kecil lagi oleh ibu. Ia seperti sudah menjadi sebati di dalam diri saya.
“Proses penghasilannya juga tidak sukar. Idea untuk memulakan perniagaan Karipop KL itu datangnya daripada suami.
“Sebenarnya, saya dan suami saya terlibat dalam bidang korporat. Semasa bekerja, kami ada melakukan kerja sampingan untuk menambahkan pendapatan,” ujar Siti Aadila yang merupakan ibu kepada seorang anak perempuan berusia tiga tahun.
Menurutnya, melakukan dua pekerjaan dalam satu masa amat memenatkan.
Justeru, pasangan itu membuat keputusan untuk memilih salah satu daripada kerjaya yang benar-benar diminati mereka.
“Saya sebenarnya mahu menjadi usahawan. Apabila sudah bosan bekerja, suami saya mencadangkan supaya saya membuka perniagaaan karipap.
“Tetapi, suami saya berpesan supaya karipap yang saya hasilkan itu perlulah memiliki keunikan bagi memberikan kelainan kepada pelanggan.
“Namanya juga sudah berbeza berbanding karipap tradisional,” kata Siti Aadila yang pernah bekerja dalam bidang korporat selama enam tahun.
Menurutnya, dengan bermodalkan sebanyak RM6,000, dia dan suaminya memulakan perniagaan karipap itu.
Inti manis
Siti Aadila memberitahu, idea untuk menghasilkan inti karipap itu pada mulanya dirasakan tidak masuk akal.
Dia juga tidak yakin dengan penerimaan para pelanggan.
Namun, menurutnya, tidak salah untuk mencuba dan ternyata percaturannya itu membuahkan hasil apabila produknya mula mendapat sambutan daripada pelanggan.
Karipap yang diperkenalkannya itu mengandungi inti kentang putar dan sosej selain cendawan serta bawang.
Dia juga memperkenalkan karipap yang mempunyai inti makaroni dan keju, daging kaserol serta ayam masala.
“Pada permulaan perniagaan, saya cuba pasaran produk ini dengan menjualnya pada satu majlis anjuran rakannya yang menyasarkan golongan belia.
“Sebanyak 200 karipap berjaya saya jual. Ketika itu, saya menggunakan kuali untuk menggoreng Karipop KL tanpa terfikir untuk menggunakan periuk tekanan bagi mempercepatkan proses memasak,” katanya.
Menurut Siti Aadila, penyelidikan dilakukan bagi memastikan inti tersebut benar-benar unik dan boleh dijual kepada orang ramai.
“Justeru, kita juga merancang untuk mencuba perisa lain seperti makanan laut dan inti yang manis.
Dia mempunyai pelanggan tetap untuk setiap karipapnya.
“Harga sebiji Karipop KL sejuk beku ialah RM2 manakala bagi yang sudah siap digoreng berharga RM2.50.
“Harga RM20 satu peket beg yang berisi 10 biji karipap untuk setiap inti bagi sejuk beku dan RM25 untuk yang sudah siap digoreng.
“Produk itu boleh bertahan selama tiga bulan dan pelanggan perlulah melakukan proses nyah beku terlebih dulu selama satu jam,” tambahnya.
Dia menggunakan laman sosial Facebook untuk mempromosikan produknya itu.
Harga mahal
Siti Aadila memberitahu, teknik memasak yang betul amat penting bagi mendapatkan permukaan kulit dan warna karipap yang cantik.
“Pelanggan boleh mendapatkan hasil dan warna Karipop KL yang memuaskan ketika menggoreng pada suhu 150 darjah Celsius selain perlu membalikkannya setiap 15 saat,” katanya.
Dia memberitahu, pihaknya memberikan penghantaran secara percuma untuk pelanggan yang berada di sekitar Kota Damansara, Bangsar dan Taman Tun Dr. Ismail.
Menurutnya, pada mulanya, dia mengalami kesukaran untuk meyakinkan pelanggan bahawa produk keluarannya itu dijual pada harga tersebut.
“Saiz Karipop KL itu saya olah menjadi lebih besar dan agak sukar juga pelanggan mahu menerimanya.
“Ada pelanggan yang menyatakan harganya amat mahal. Tetapi, selepas diterangkan tentang saiz dan inti yang digunakan, barulah pelanggan dapat memahaminya.
“Ada juga yang tidak kisah dengan harga asalkan rasanya sedap dan menepati cita rasa mereka,” katanya.
Siti Aadila berkata, pihaknya turut menawarkan kepada orang ramai yang berminat untuk menjadi ejen Karipop KL.
“Kita juga membuka peluang kepada mereka yang berminat untuk menjadi ejen Karipop KL sebagai salah satu cara bagi memasarkan produk ini dengan lebih meluas.
“Sebagai perancangan pada masa depan, saya mahu meluaskan lagi jaringan perniagaan ke seluruh Malaysia selain meletakkan sasaran supaya produk ini berada di pasar raya besar,” jelasnya sambil memberitahu Karipop KL tidak mengandungi sebarang bahan pengawet.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0922&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_04.htm#ixzz3367zvNI8 
Hakcipta terpelihara 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan