Rabu, 28 Mei 2014

Rahsia Karipap Sedap

KARIPAP ialah antara kuih masyarakat Malaysia yang digemari ramai. Ia mudah dibuat malah mudah juga membelinya. Ia sentiasa ada di kebanyakan majlis makan-makan kerana kehadiran karipap mudah disesuaikan dengan keadaan. Sama ada orang dewasa atau kanak-kanak, ramai yang menjadi penggemar karipap.

Bagi penulis yang menjadi peminat tegar karipap, apabila disajikan kuih itu pasti tidak pernah menolak untuk menjamahnya. Namun rasa karipap tidak pernah sama. Beribu biji karipap yang pernah masuk ke dalam mulut, rasa kulit, inti atau kerangupannya sentiasa berbeza.


Ini kerana resipi karipap setiap orang memang berlainan. Air tangan pembuatnya juga memainkan peranan. Kita tidak dapat menduga kesedapan karipap hanya dengan melihat luaran.

Adakalanya kecewa kerana karipap yang dibeli dengan harga yang mahal, rasanya pula sangat mengecewakan. Intinya tidak sedap, kulit keras, tawar dan rasa seperti tepung. Malah ada juga karipap yang keras macam batu!

Karipap yang sedap ialah gabungan sempurna kedua-duanya, inti dan kulit. Kalau inti saja sedap, kulitnya tidak sedap, ia juga tidak menjadi.

Bagi orang dulu-dulu, mereka pandai membuat karipap yang sedap tetapi apabila ditanya mengenai resipi, wajah mereka terus terpinga-pinga. Ini kerana resipi orang dulu-dulu ialah resipi ‘agak-agak’ atau resipi ‘campak-campak’. Ia dibuat dengan kebiasaan yang menjadi mudah pada mereka kerana kekerapan membuatnya.

Bercerita mengenai karipap di artikel ini, penulis sebenarnya ingin mengaitkan pada dua kunjungan ke rumah anak yatim di utara.

Kunjungan ke Rumah Teratak Rahmat, Mata Ayer, Perlis adalah kunjungan hari raya. Penulis dan teman-teman mahu beraya dengan pentadbir rumah terbabit dan menyampaikan kiriman duit raya daripada kawan-kawan yang lain kepada anak-anak Teratak Rahmat.

Jenuh berpesan kepada pentadbir Teratak Rahmat, Dr Hazman Hassan, supaya jangan susah-susah dengan kedatangan kami. Namun adat Melayu bukan senang dibiarkan begitu saja oleh Dr Hazman.

Sebaik tiba, kami terus susah hati kerana rupa-rupanya Dr Hazman dan kawan-kawannya menyediakan makanan ‘Perlis’ bagi menjamu kami. Ada laksa, pulut ayam dan juga spera malah Dr Hazman sempat bercerita mengenai makanan asli Perlis yang unik dan tersendiri.

Ceritanya, pulut ayam banyak dipengaruhi dengan selera Siam. Ia pulut yang dikukus antaranya dengan minyak bijan kemudian dimakan bersama ayam goreng dan sos cili. Orang Perlis mungkin sudah biasa dengan juadah ini tetapi bagi kami yang pertama kali mencuba, rasanya agak janggal.

Namun cerita spera sangat menarik perhatian. Spera ialah kuih seperti karipap tetapi intinya bukan seperti karipap biasa sebaliknya kelapa seperti pulut inti.

Spera yang dihidangkan agak besar sedikit ukurannya malah cara menikmati spera memang unik. Mungkin ada pembaca seperti juga penulis terkejut mendengarnya.

“Spera ini dimakan dengan laksa!” kata Dr Hazman.

Kami semua tersenyum dan mula ketawa kecil kerana menyangka dia bergurau.

“Ini bukan gurauan kerana ia antara cara makan spera yang diamalkan di sini. Mungkin ramai anak jati Perlis sendiri yang tak tahu tetapi memang ia suatu kebiasaan yang wujud sejak sekian lama.

“Spera boleh dipatahkan atau terus diletakkan sebiji ke dalam mangkuk kuah laksa. Rendam ia sekali bersama kuah laksa dan biarkan semuanya sebati dan meresap. Kita makan laksa, hirup kuah dan makan spera yang sudah lembut sekali,” katanya.

Cuba anda bayangkan rasanya. Rasa laksa, kuah laksa, perencah timun, bawang, telur, kemudian makan pula spera yang berinti kelapa? Jika anda berfikir rasanya yang ‘kelam-kabut’ tetapi apabila mencuba, tidaklah mengejutkan sangat. Malah ia kelainan yang agak sedap.

Sememangnya, menikmati spera yang direndam bersama kuah laksa adalah kenangan yang sukar dilupakan.

Selepas kunjungan raya ke Teratak Rahmat, penulis dan rakan-rakan ke Rumah Anak Yatim Ummu Sofiah pula di Trong, Taiping. Sekali lagi penulis bertemu dengan cerita karipap yang lain ketika membuat tempahan  kuih untuk majlis kecil di Ummu Sofiah.

Kali ini ialah cerita mengenai karipap giant pula. Karipap gajah mungkin sudah biasa kita dengar kerana ukurannya yang besar tetapi Hayati Mat Saad, 40, bijak menarik perhatian dengan menggelar karipap besarnya sebagai karipap giant.

Hayati yang berpengalaman menjual kuih sejak lebih 10 tahun di Taiping kini tidak lagi menjual pelbagai kuih sebaliknya hanya mengutamakan karipap giant bersama beberapa kuih lain saja.

“Resipi karipap giant saya juga sudah dipelbagaikan demi memenuhi selera pelanggan yang pelbagai bangsa. Begitu juga intinya kerana ada inti ayam, daging, sardin dan telur,” katanya.

Gerai Hayati, ibu tiga anak ini terletak di Simpang, daerah selepas Taiping di Jalan Kuala Kangsar berdekatan dengan Taman Menteri. Gerainya mudah dilihat kerana terletak di tepi jalan utama.

“Dulu saya berniaga dengan adik ipar yang memang handal membuat kuih-muih Melayu. Cuma sekarang masing-masing ada kerja sendiri dan saya teruskan berniaga di sini disokong oleh semua ahli keluarga.

“Seronok menjual karipap ini. Bahannya sama kecuali inti. Untuk inti saja saya menggunakan tiga hingga empat kilogram kentang sehari kerana inti saya buat segar setiap hari. Di kawasan saya ini hanya saya seorang saja yang menjual karipap sebegini dan boleh dikatakan semua orang sudah tahu. Orang luar pun suka singgah membeli maklumlah, ia jalan utama,” cerita Hayati yang sering ditemani anak perempuannya di gerai.

Kerana namanya yang ada kelainan, orang mudah berpaling dua kali untuk melihat gerai Hayati dan seterusnya membeli.

“Dalam sehari, saya menjual kira-kira 100 karipap dengan harga antara RM1.30 hingga RM1.50 satu. Waktu jualan pula mulai jam 3 petang hingga 7 malam,” katanya.

Karipap telur Hayati berlainan daripada karipap lain kerana ia berinti telur yang agak susah dibuat.

“Telur dipecah mentah-mentah dan dimasuk ke dalam kulitnya, selepas itu baru digoreng. Ia perlu dimasak satu persatu ke dalam kuali dan agak mengambil masa.

“Sebaik selesai solat subuh, bermulalah saya membuat karipap setiap hari,” kata Hayati yang turut menjual kuih limas dan cucur badak di gerai sama.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/11 myMETRO

Tiada ulasan:

Catat Ulasan