Rabu, 28 Mei 2014

Karipap 10 Jenis Inti Laris

 www.utusan.com.my  
 ARKIB : 13/10/2011
NORAZLIN Sulaiman dan Faizal Hashim tekun menyediakan inti karipap di gerai mereka di Kilang Lama, Kulim, Kedah, baru-baru ini.

KULIM 12 Okt. - Ada segelintir masyarakat mengenali makanan tradisional ini dengan nama epokepok dan tidak kurang juga gemar menggunakan nama Inggerisnya iaitu curry puff.

Biarpun namanya berbeza, namun kuih karipap memang tidak asing dan menjadi kegemaran rakyat negara ini.
Sebut sahaja karipap, pasti para penggemarnya 'kecur air liur', sekali gus membayangkan keenakan kuih itu apabila dimakan ketika panas apatah lagi disajikan bersama air teh atau kopi.
Bagi pasangan suami isteri, Faisal Hashim, 36, dan Norazlin Sulaiman, 36, yang mengusahakan gerai di Kilang Lama dekat sini, karipap menjadi sumber pendapatan utama mereka sekeluarga sejak empat tahun lalu.
Faisal berkata, setiap hari dia menghasilkan kira-kira 1,000 biji karipap untuk memenuhi permintaan pelanggan.
Katanya, bagi melariskan lagi jualan, dia dan keluarga mencipta karipap ramuan khas mengandungi 10 jenis inti terdiri daripada daging rusa, ayam, kambing, ketam, telur, daging lembu, ubi kentang, sotong, sardin dan ikan.
"Inti campuran terhasil dengan menggunakan ramuan rempah-ratus yang dicipta sendiri oleh saya dan isteri. Ini menjadikan karipap yang dihasilkan kami unik.
"Setiap biji karipap bersaiz hampir sebesar tapak tangan dijual dengan harga RM2," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.
Faisal memberitahu, antara karipap yang laris dijual ialah inti daging rusa, ayam dan sardin.
Katanya, selain gerai di Kilang Lama, dia turut mempunyai sebuah lagi gerai di Taman Chai Leng dan diuruskan oleh dua pembantu.
"Tugas mengendalikan bahan asas untuk penyediaan inti pula dikendalikan oleh seorang lagi pembantu, manakala rempah-ratus serta adunan inti karipap diuruskan oleh saya dan isteri," katanya.
Ditanya penglibatan awalnya dalam perniagaan itu, Faisal berkata, idea menjual karipap muncul selepas memerhatikan kejayaan seorang mamak kenalannya menjadi usahawan selepas menjaja kuih berkenaan di stesen bas sekitar 1980-an.
"Saya mula berniaga secara sambilan ketika bertugas di syarikat penghantaran barang di Taman Chai Leng, Butterworth. Selepas menguasai selok-belok perniagaan, akhirnya saya mengambil keputusan berhenti kerja pada 2009.
"Bermula dengan hanya 20 biji karipap sehari, kini ia meningkat kepada hampir 1,000 biji. Saya bersyukur atas sambutan yang diberikan oleh pelanggan yang terdiri daripada pelbagai kaum," katanya.
Faisal memberitahu, berkat usaha gigihnya, dia dan isteri kini berjaya menubuhkan syarikat Mutiara Karipap.
"Walaupun berniaga di sebuah gerai kecil, namun pendapatan yang diperoleh kini mencecah lima angka sebulan," katanya.
Faisal berkata, bagi mengembangkan lagi perniagaan, dia dan isteri bercadang menawarkan francais karipap kepada mereka yang berminat pada masa akan datang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan