Rabu, 28 Mei 2014

Manfaat Makanan Sejuk Beku


Pada kebiasaannya Najwa Puff akan menghasilkan dua produk dalam tempoh satu hari.

Penglibatan secara tidak sengaja Nornita Basiron, 45, dalam pembuatan makanan sejuk beku ternyata membawa tuah kepada anak kelahiran Johor itu apabila ia berjaya mendatangkan keuntungan lumayan buat dirinya sejak enam tahun lalu.

Menurut pengusaha Najwa Puff Enteprise (Najwa Puff) ini, beliau memang tiada niat untuk berkecimpung dalam bidang itu pada peringkat awal namun mula mengambil keputusan untuk bergiat secara serius selepas mendapat permintaan menggalakkan daripada masyarakat setempat.

“Pada peringkat permulaan, saya hanya membantu jiran sebelah rumah untuk menghasilkan kuih sejuk beku untuk tempahan penduduk setempat selama dua bulan.

Mesin kelim karipap ini memudahkan proses kuih karipap yang dihasilkan.
“Bagaimana pun, keadaan kesihatan jiran yang tidak begitu baik membuatkan beliau menyerahkan tanggungjawab untuk menghasilkan makanan itu lantas mendorong ke arah pembabitan secara komersial,” katanya pada Info Agro.

Beliau berkata, perusahaan berasaskan makanan sejuk beku itu dijalankan secara kecil-kecilan dengan bantuan daripada pembantu rumahnya di mana ketika itu ia beroperasi daripada rumah.

“Pada masa ini, saya hanya memasarkan produk pertama iaitu karipap pusing sejuk beku dalam tiga perasa di sekitar kawasan kediaman di Sungai Buaya, Rawang.

"Maklum balas yang diterima daripada pelanggan amat memberangsangkan dan membuatkan saya mencari pekerja untuk melancarkan lagi aktiviti penghasilan makanan sejuk beku ini,” katanya.

Selepas mencatatkan peningkatan permintaan, beliau menyewa sebuah rumah berdekatan kediamannya untuk menampung keperluan operasi pembuatan makanan sejuk bekunya.

Tidak lama selepas itu, beliau membelanjakan kira-kira RM10,000 untuk menyewa sebuah rumah kedai bagi dijadikan kilang di kawasan berdekatan selepas mendapati operasi pengeluaran tidak mampu lagi dijalankan dari rumah.

Karipap daging produk utama

Nornita berkata, beliau juga menghadapi masalah lain pada ketika itu kerana segala operasi pembuatan produknya dijalankan secara manual lantas mendorong beliau memohon bantuan mesin bagi meningkatkan produktiviti pengeluaran produknya.

“Alhamdulillah, Jabatan Pertanian sudi membantu setelah datang sendiri menyaksikan profil syarikat dan komitmen saya dalam pembuatan produk ini.

“Bentuk bantuan yang diterima adalah tiga jenis mesin iaitu mesin stamping, roller, dan claming di samping peralatan seperti meja dan peti sejuk beku,’ katanya.

Sehingga kini, beliau menghasilkan tiga jenis karipap sejuk beku iaitu perisa daging, ayam dan sardin. Selain itu, beliau turut menghasilkan produk samosa pada 2009 selepas mendapati ia mendapat permintaan dalam pasaran.

Karipap pusing daging adalah produk paling mendapat permintaan dalam kalangan pengguna di mana ia mampu dijual secara purata kira-kira 4,000 biji dalam tempoh satu minggu

Lazimnya, produk karipap dan samosa mendapat permintaan menggalakkan sepanjang tahun namun ia akan meningkat mendadak terutama menjelang sambutan perayaan.

Keistimewaan karipap pusing ini sudah pasti terletak pada cara pembuatan unik produk itu sendiri di samping rasa inti yang dihasilkan mengikut ramuan dan resipi Nornita sendiri.

Selain itu, ia mempunyai rupa bentuk lebih cantik dan rasa lebih rangup kerana ia melalui proses pembuatan sedikit rumit serta memakan masa lebih panjang berbanding karipap biasa.  

Ketika ditanya pasaran produk, beliau berkata, mereka lebih cenderung untuk menghasilkan produk yang mudah digunakan dan disediakan oleh kebanyakan individu.
Apa paling penting, ia menjimatkan masa suri rumah dalam menyediakan makanan buat ahli keluarga.

“Potensi perniagaan seumpama ini juga lebih tinggi untuk berkembang dan amat sesuai dalam menjana pendapatan buat pengusahanya,” katanya.

Pasaran produk Najwa Puff hanya bertumpu di lokasi sekitar Rawang di samping turut dijual melalui 10 wakil pengedar di beberapa kawasan lain di sekitar Kuala Lumpur.

Lazimnya, pengedar diwajibkan mengambil minima 30 paket bungkusan untuk dipasarkan kepada pelanggan.

Fokus tingkat kualiti

Nornita berkata, pelbagai cabaran terpaksa ditempuhi beliau sepanjang mengembangkan perniagaan yang menggunakan modal pelaburan awal bernilai RM5,000 ini.

Antara yang paling diingati, sudah tentu susah payah beliau mengusung beg plastik dan pergi ke satu tempat demi mencari peluang untuk memasarkan produk di mana ketika itu produknya masih belum dikenali ramai.

Kekangan modal juga turut menjadi cabaran buatnya dalam mendapatkan premis pembuatan lebih besar dan meningkatkan kualiti serta produktiviti produk.

“Saya amat bersyukur kerana segala rintangan ini dapat diatasi dengan bantuan agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian daripada aspek peralatan dan Lembaga Pemasaran Pertanian
Persekutuan (Fama) bagi pemasaran dan promosi,” katanya.

Beliau berkata, suaminya banyak membantu dalam menjalankan setiap urusan perniagaan terutama daripada aspek pemasaran di samping sentiasa memberi kata-kata semangat dan dorongan buat dirinya.

“Untuk berjaya dalam bidang ini, saya sentiasa berpegang kepada satu prinsip iaitu setiap produk makanan perlu dihasilkan seperti untuk dimakan sendiri dan bukan untuk dijual.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan